Isu Pertukaran Dr Hadijah Baba ke Ibu Pejabat AADK Cetus Ketegangan Dalaman

Posted 1 day 2 hours ago

Pertukaran serta-merta Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan, Dr Hadijah Baba ke Ibu Pejabat AADK telah mencetuskan perdebatan dalaman, selepas pendedahan siasatan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Espek (ES) yang menggoyahkan kredibilitinya. Menurut maklumat forum yang tular, Dr Hadijah kini ditempatkan di Unit Antarabangsa AADK, satu penempatan yang dikatakan tidak disenanginya.

Dr Hadijah dilaporkan memohon untuk dilantik ke jawatan Ketua Penolong Pengarah (Penyelidikan) dengan gred S52, namun beliau kini hanya memegang gred S48. Permohonannya itu menimbulkan persoalan integriti dan merit lantikan, terutamanya apabila beliau berhadapan isu reputasi susulan pemindahan drastik akibat siasatan EAIC dan ES.

Dalam usaha mendapatkan jawatan yang diinginkan, sahabat baik Dr Hadijah, Dr Nazira Sadiron, dikatakan telah berjumpa dengan Pengarah Dasar AADK untuk merundingkan perkara tersebut. Dr Nazira juga bukan asing dengan kontroversi, apabila dirinya pernah terpalit isu integriti ketika memegang jawatan sebagai Pengarah AADK Negeri Selangor.

Walaupun mempunyai rekod yang dipertikai, Dr Nazira terselamat daripada sebarang tindakan tatatertib hasil sokongan mantan Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon. Beliau bukan sahaja ditukarkan ke Ibu Pejabat, malah turut menikmati kenaikan pangkat ke gred S52 tahun lalu.

Perkembangan ini mengundang kritikan dalam kalangan warga AADK dan pemerhati dasar awam, yang mempersoalkan ketelusan dan sistem merit dalam pengurusan sumber manusia agensi tersebut. Penempatan individu bermasalah ke posisi strategik dikhuatiri akan melemahkan usaha reformasi dan integriti yang sedang digiatkan oleh kerajaan.

AADK masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini, namun tekanan dari dalam dan luar agensi dilihat semakin meningkat. Pihak berkepentingan menyeru agar proses siasatan dilaksanakan secara telus, dan semua penempatan jawatan berdasarkan kelayakan dan prestasi sebenar, bukan hubungan peribadi atau jaringan dalaman.

Scroll to Top