
PUTRAJAYA, 2 Jun 2025 — Satu surat layang yang sedang tular di kalangan pegawai kerajaan mendedahkan dakwaan serius terhadap Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Puan Azura binti Sarbin. Surat yang dialamatkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan pegawai atasan kerajaan itu menuntut siasatan segera terhadap gaya kepimpinan Azura, yang digambarkan sebagai toksik, autoritarian, dan menekan pegawai bawahan.
Dalam surat yang bersifat tegas dan penuh emosi itu, pengirim yang tidak dikenali — dipercayai dari kalangan kakitangan JBSN sendiri — menyatakan bahawa mereka sudah tidak sanggup lagi bekerja di bawah kepimpinan Azura. Dakwaan utama termasuk salah guna kuasa, penyelewengan bajet jabatan, serta budaya kerja yang menindas hingga menyebabkan tekanan mental dalam kalangan pegawai.
Antara tuduhan paling berat ialah bagaimana Azura didakwa naik pangkat melalui “kabel dalam” tanpa pengalaman mencukupi, memotong giliran pegawai yang lebih senior. Beliau juga dituduh menyalahgunakan nama istana untuk kepentingan peribadi dan menyekat bajet program agar prestasi pegawai bawahannya tidak menyerlah, sekaligus mengekalkan kuasa peribadi.
Surat itu turut menyenaraikan tujuh kesalahan yang dikatakan perlu disiasat segera, termasuk wujudnya seorang ‘proksi’ atau pegawai yang dilindungi oleh Azura. Proksi ini didakwa mempunyai hubungan istimewa dengan “kepala kartel” dalam kementerian, membolehkan mereka meluluskan dana dan program secara meragukan.
Pengirim memberi amaran bahawa skandal ini berisiko menjejaskan reputasi kerajaan Madani jika terus dibiarkan berlarutan. Lebih membimbangkan, wujud dakwaan bahawa kepimpinan Azura telah menyebabkan kesihatan mental kakitangan terjejas, dengan laporan mengatakan beberapa pegawai mengalami tekanan teruk sehingga ada yang terpaksa mendapatkan rawatan hospital.
Keadaan jabatan kini digambarkan sebagai “mayat hidup” — tiada semangat, tiada maruah, dan tiada hala tuju. Surat ini bukan sahaja satu bentuk desakan, malah satu amaran kepada pihak atasan KBS dan kerajaan agar tidak lagi “tutup mata” terhadap kepincangan dalaman.
Pengirim turut menyatakan kesediaan untuk mendedahkan lebih banyak bukti kepada media sekiranya tiada tindakan diambil. Jika dibiarkan, isu ini boleh meletup sebagai skandal besar menjelang pilihan raya akan datang, sekaligus menjejaskan sokongan belia kepada kerajaan.