
PORT KLANG, 3 Jun 2025 — Dakwaan serius telah dikemukakan melibatkan Pengerusi Port Klang Free Zone (PKFZ), YB Lim Lip Eng, yang juga Ahli Parlimen Kepong, serta CEO PKFZ, Priscilla Lim, berkaitan dengan salah guna kuasa dan pelantikan tidak telus dalam pengurusan zon perdagangan bebas negara itu. Berdasarkan satu pendedahan yang berlegar di media sosial dan forum dalam talian, Lim Lip Eng didakwa terlibat dalam pengurusan tender secara tidak telus melibatkan kontrak-kontrak perkhidmatan bernilai jutaan ringgit.
Difahamkan, sebanyak lima projek berjumlah RM3.27 juta telah diberikan kepada individu dan syarikat tertentu yang mempunyai kaitan rapat dengan beliau, tanpa melalui proses tatakelola yang sah. Turut didakwa, amalan ini turut diteruskan dalam urusan di PKFZ apabila kontrak-kontrak tender disalurkan kepada kenalan dalam parti politik beliau tanpa proses penilaian yang telus.
Malah, terdapat situasi di mana individu yang tidak menghadiri taklimat tender berjaya memenangi projek tersebut, mencetuskan persoalan tentang integriti proses perolehan di PKFZ. CEO PKFZ, Priscilla Lim, juga menjadi tumpuan kritikan dalam pendedahan ini.
Beliau didakwa tidak mempunyai latar belakang atau pengalaman dalam bidang pengurusan zon perdagangan bebas, namun berjaya dilantik ke jawatan tertinggi dalam organisasi tersebut. Hasilnya, pelbagai masalah operasi timbul termasuk aduan dari penyewa gudang yang tidak mendapat layanan sewajarnya.
Pendedahan itu turut mendakwa bahawa kedua-dua individu berkenaan menjadikan PKFZ sebagai ‘hak milik keluarga’ dengan mengenepikan tanggungjawab untuk memajukan kemudahan dan perkhidmatan kepada penyewa. Kadar sewa dinaikkan meskipun fasiliti tidak dibaiki, manakala tender-tender diwujudkan hanya untuk menguntungkan kroni.
Pihak berkenaan dalam forum tersebut merayu agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat dakwaan ini agar ketelusan dapat dikembalikan dalam pengurusan PKFZ. Pendedah menyatakan bahawa integriti dan amanah perlu diutamakan demi memelihara keuntungan serta reputasi pusat perdagangan strategik negara ini.