Penjualan Rokok Tanpa Cukai di Bandar Baru Bangi Masih Berleluasa, Tiada Tindakan Pihak Berkuasa?

Posted 2 days 2 hours ago

BANDAR BARU BANGI, 5 Jun 2025 — Penjualan rokok tanpa cukai secara terbuka di kawasan kediaman Apartment Sri Anggerik, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi mencetuskan kebimbangan penduduk setempat apabila tiada tindakan diambil walaupun aduan telah dikemukakan kepada pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Seorang penduduk tempatan yang menggunakan nama samaran “ES” dalam forum tempatan, mendakwa bahawa kegiatan penjualan haram itu berlaku secara terang-terangan di kawasan laluan awam berdekatan blok apartmen.

Menurutnya, gambar bukti juga telah diserahkan bersama aduan kepada MPKj, namun hingga kini tiada sebarang tindakan susulan dilakukan. “Apa yang menghairankan, aktiviti ini berlaku di kawasan yang sepatutnya menjadi perhatian pihak berkuasa tempatan, namun dibiarkan berlarutan,” jelas beliau dalam hantaran forum tersebut.

Lebih membimbangkan, beliau mendakwa penjual rokok haram itu dipercayai bukan warganegara, sekali gus menimbulkan persoalan tentang penguatkuasaan undang-undang imigresen dan kesihatan awam di kawasan tersebut. Penduduk mendakwa bahawa rokok tanpa cukai dijual secara terbuka dan mudah didapati oleh sesiapa sahaja yang lalu di kawasan itu.

Fenomena penjualan rokok seludup secara terbuka bukan sahaja melanggar undang-undang cukai negara, malah turut mengundang risiko kepada kesihatan awam dan keselamatan komuniti, terutama apabila ia melibatkan individu tanpa status sah. Tambahan pula, hasil negara turut terjejas akibat kegiatan ini.

Penduduk setempat merayu agar pihak berkuasa termasuk MPKj, Kastam Diraja Malaysia, serta agensi penguatkuasaan berkaitan mengambil tindakan tegas dan segera untuk membanteras kegiatan ini. Mereka juga berharap pemantauan berterusan dijalankan demi menjaga kesejahteraan penduduk sekitar.

Scroll to Top